Tubuh Gagasan besar: Umno tak berminat

0
2

UMNO tidak perlu untuk meminta maaf berhubung cadangan pembentukan gagasan besar kerana parti itu akan kekal dalam Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata banyak pihak tidak berminat dengan cadangan berkenaan kerana isu dalam Perikatan Nasional (PN) pun masih belum selesai.

“Sebab itu orang tidak minat bila (Datuk Seri) Hamzah Zainuddin cadang tubuh “Gagasan Besar”. Caca marba PN pun tidak selesai. Nak tubuh baru pula?

“Benda baru yang belum ada kasih sayang menggalakkan kerja khianat. Siapa nak percaya. Pengkhianat suka kata, dia adalah “Penyelamat”. Sebaliknya perosak,” katanya di Facebook hari ini.

Kelmarin, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu diwujudkan bagi melambangkan kesatuan tiga parti itu.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, gagasan berkenaan dilihat perlu bagi mengekalkan permuafakatan politik ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Katanya, ia bagi memastikan PN dapat terus memerintah Kerajaan Persekutuan di samping mengambil alih kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan.

Dalam hantaran sama, Puad mempersoalkan tindakan tiga Adun PAS minta maaf secara terbuka kerana tidak mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

“Kenapa minta maaf. Silap atau sengaja tidak mahu jumpa?

“Bersatu juga tidak mengadap. Apakah kebetulan. Bekas Menteri Besar dakwa, tiada jemputan untuk mengadap. Tetapi kehadiran Adun Titi Serong dari Bersatu ke Istana menghairankan,” katanya.

Beliau berkata, Ahli Dewan Negara Perak Datuk Seri Mohd Anuar Zaini memaklumkan PAS dan Bersatu memang dititah untuk mengadap.

“Tidak mungkin bahasa istana berbelit belit untuk difahami.

“Seperti yang didedahkan dalam Facebook (Datuk) Mas Ermieyati, ramai yang menyumpah seranah (Tan Sr) Muhyiddin(Yassin) bila (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) Peja terpelanting. Tetapi Muhyiddin tetap kunci mulut.

“Kunci mulutlah yang bahaya. Depan lain, belakang buat lain. Muhyiddin hingga hari ini kekal kunci mulut tentang I-Sinar KWSP, moratorium dan RCI Tabung Haji.

“Orang akan bosan. Maka janganlah marah kalau ada pihak lain ambil tindakan drastik. Salahkan diri sendiri kerana lambat bertindak,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here