Pemergian Hardi kehilangan besar kepada KPDNHEP – Menteri

0
2

“WALAUPUN khidmatnya agak singkat, pemergian beliau kehilangan besar bagi saya dan seluruh warga kementerian,” demikian kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Allahyarham Hardi Effendi Yaacob, 43, yang baharu berkhidmat sebagai pegawai khas media Alexander hampir dua bulan lalu disifatkan sebagai seorang yang profesional dan berkeperibadian tinggi.

Beliau turut menyifatkan kehilangan Allahyarham yang juga bekas Penolong Pengarang Berita Berita Harian (BH) sebagai sukar dicari ganti.

“Saya dapati Allahyarham sangat baik dan bagus, kerja sungguh sempurna. Sepatutnya kami pergi ke Kapit, Sarawak untuk menganjurkan beberapa program selepas sidang Dewan Rakyat tamat.

“Allahyarham berpengalaman dan faham landskap politik di Sarawak. Saya berharap sangat bantuan beliau, tetapi apa boleh buat tuhan lebih menyayangi beliau,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Sementara itu, Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melalui Twitter turut mengakui pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada dunia kewartawanan.

“Semoga Allahyarham Haji Hardi Effendi Yaacob dicucuri rahmat Allah. Pemergian beliau kehilangan besar kepada dunia kewartawanan. Al Fatihah,” katanya.

Allahyarham Hardi menghembuskan nafas terakhirnya selepas tidak sedarkan diri di kediamannya di Kampung Kerdas 3, Batu 6, Gombak, Selangor malam tadi.

Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Biro BH Sarawak serta penolong pengarang berita sebelum ini, pada mulanya mengadu pening kepala sebelum tidak sedarkan diri kira-kira jam 10 malam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here