Nurul Huda Abhar
JEPUN terkenal dengan tempat-tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong saban tahun termasuklah budaya mereka yang pembersih dan saling menghormati.

Namun begitu, juga turut sama membarisi kisah tumpuan pelancong adalah Hutan Aokigahara, yang terletak di kaki Gunung Fuji.
Kisah hutan tersebut adalah sisi gelap daripada kisah nyaman yang sering didengari di negara Matahari Terbit itu.
Memetik perkongsian pemilik akaun Facebook, Zunita Ramli menerusi group ‘Road to Japan’, kisah Hutan Aokigahara agak mengerikan.
Ini kerana, hutan suram tersebut menjadi pilihan orang yang mempunyai masalah untuk menamatkan nyawa mereka atau disebut bunuh diri.
“Bunuh diri itu sendiri bukan benda yang mudah untuk dilakukan sebenarnya. Nak gantung diri, nak terjun ke landasan keretapi masa keretapi tengah memecut laju, potong nadi sendiri, ingat senang ke? Benda ni memang memerlukan nekad dan keberanian yang tinggi, tapi kenapa ramai orang Jepun berani buat begini?
“Jepun sejak beratus tahun dulu telah mengamalkan sesuatu yang dipanggil Seppuku atau juga dikenali sebagai Harakiri. Benda ni adalah hukuman untuk samurai yang buat kesalahan berat, di mana harakiri perlu dilakukan dengan cara merobek perut sendiri (bunuh diri) untuk mengembalikan maruah keluarga.
“Walaupun Seppuku ni dah diharamkan, tapi benda ni dah sebati dalam jiwa orang Jepun. Sebab tu kalau kita tengok masa Perang Dunia Kedua, ramai orang Jepun sanggup buat Kamikaze demi memperjuangkan negara Jepun. Jadi tak hairanlah kalau masa sekarang, ramai orang Jepun pilih untuk mengambil nyawa sendiri untuk ‘keluar’ daripada masalah mereka, ” katanya dalam hantaran berkenaan.

Zunita berkata, terdapat rakyat Jepun yang mempercayai konsep enam dunia yang mana ia turut mempengaruhi sedikit sebanyak keputusan bunuh diri yang berlaku di Jepun.
“Dalam kepercayaan konsep enam dunia ini, individu (roh) berlegar-legar dalam enam dunia ini di mana mereka percaya pada proses kelahiran semula (reincarnation). Jadi, apabila seseorang individu itu sudah berpuluh asa dengan kehidupan sekarang, bunuh diri adalah solusi paling mudah untuk mendapat kelahiran semula, bagi mulakan hidup yang baharu,” katanya.
Zunita menambah, terlalu mahukan kesempurnaan juga mungkin salah satu sebab mereka kecewa dan membunuh diri.
Sementara itu, katanya, kebanyakan orang Jepun bukan bunuh diri sebab gagal, tetapi sebab kecewa kerana tidak mencapai tahap kesempurnaan yang diinginkan.

“Mereka juga meletakkan target (matlamat) terlalu tinggi sehingga sukar untuk dicapai menjuruskan diri ke alam depresi dan akhirnya, mengambil nyawa sendiri.
“Budaya Jepun itu sendiri mungkin penyumbang kepada masalah ini. Mereka tidak ada banyak cara untuk meluahkan rasa kecewa dan marah. Dalam kebanyakan situasi, apa saja yang berlaku, perlu dipendam saja. Jadi tak hairanlah jika ramai juga yang berakhir dengan hikikomori (pengasingan diri dari dunia luar) dan akhirnya ada yang membunuh diri,” katanya.
Sememangnya Jepun sebuah negara yang hebat dan terkenal dengan sisi yang baik, namun pada masa sama juga mempunyai kisah disebaliknya.
Kita boleh membuat perbandingan untuk setiap perkara yang berlaku. Setiap amalan orang Jepun yang baik boleh dijadikan ikutan dalam aktiviti harian.

Manakala, sikap-sikap yang merosakkan akidah dan tidak mengikut ajaran agama tidak perlulah dicontohi. -Malaysiapost

