Bekas MB Perak sahkan tak sertai Kabinet

0
2

BEKAS Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan tidak akan dilantik ke sebarang jawatan di peringkat Kabinet.

Ahmad Faizal berkata, buat masa ini beliau mahu memberi tumpuan terhadap tugasnya sebagai ahli parlimen dan Adun.

“Tidak ada (jawatan peringkat Kabinet), sekarang ini jawatan saya adalah Ahli Parlimen Tambun dan Adun Chenderiang.

“Itu pun sudah cukup banyak tugas dan tidak cukup masa, kita hendak buat banyak perkara lain.. jadi, ‘I will focus on that’ (saya akan tumpu di situ),” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ahmad Faizal berkata demikian mengulas persoalan sama ada beliau mempunyai jawatan di peringkat pusat ketika ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengulas berhubung senarai nama dalam kalangan Adun Bersatu yang dicadangkan bagi mengisi jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) Perak.

“Kita dah bincangkan dengan Menteri Besar (Datuk Saarani Mohamad) dan saya percaya beliau akan membawa nama-nama ini untuk disembah cadangkan kepada Tuanku (Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah).

“Kita cadangkan beberapa nama dan kita harapkan yang terbaik,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan menjadi EXCO kerajaan negeri, Ahmad Faizal berkata, kemungkinan besarnya tidak.

Tambahnya, beliau berada dalam keadaan baik dan meminta semua pihak tidak berasa bimbang.

Sabtu lalu, Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-13 bersama-sama seluruh barisan EXCOnya.

Ini susulan Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan dalam usul undi percaya ahli Dewan terhadap Menteri Besar dalam persidangan DUN pada Jumaat. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here