PN, BN bincang pembahagian kerusi PRU-15 minggu depan

0
1

Barisan Nasional (BN) akan mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) minggu depan, kata Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa. 

Beliau berkata, pertemuan itu akan diadakan di Kuala Lumpur membabitkan tiga presiden iaitu Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

Katanya, pembahagian kerusi itu bagi persediaan menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru membabitkan BN dan PN.

“Kita sudah buat keputusan Umno akan bertanding dalam PRU-15 menggunakan logo BN.

“Rakan kerjasama kita pada masa ini adalah PN, yang diwakili PAS dan Bersatu dan kita dah bersetuju untuk mempercepatkan proses rundingan kerusi antara BN dan PN,” katanya seperti dilapor Berita Harian. 

Annuar berkata, keputusan juga sudah dibuat dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN) yang membabitkan Umno dan PAS supaya gabungan itu tidak didaftarkan atas faktor PAS sudah menjadi ahli berdaftar di bawah PN manakala Umno menjadi ahli berdaftar BN.

Katanya, ini bermakna secara asasnya PN dan BN adalah entiti yang berdaftar dari segi politik dan struktur organisasinya.

“Sementara MN kita wujudkan sebagai satu entiti gerakan massa antara PAS dan Umno untuk menjalankan aktiviti dan menggalakkan penyatuan, muafakat dan kerjasama.

“Dengan kata lain, MN (gabungan PAS dan Umno) tidak akan masuk bertanding dalam pilihan raya (secara gabungan),” katanya.

Annuar berkata, MN juga tidak akan terbatas kepada gerakan politik tetapi mestilah insklusif membabitkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti bukan Melayu dan bukan Islam.

Katanya, kekeliruan timbul apabila Umno bergabung dengan PAS melalui MN tetapi tidak dalam PN.

“Menjadi tanggungjawab kitalah nak bagi penerangan supaya tidak keliru, sebab gabungan tiga komponen politik ini bagi mewujudkan kerjasama, muafakat antara parti.

“Apa yang berlaku di Perak, itulah semangat muafakat yang kita nak lanjutkan apabila pemimpin bertemu, kita setuju untuk menandatangani persefahaman yang dipersetujui bersama.

“Hasilnya, kita buat keputusan bersama dan kekalkan semangat muafakat di Perak, begitu juga rundingan minggu depan pembahagian kerusi yang dipertanding akan dibahagi dengan perbincangan pemimpin parti,” katanya.

Beliau berkata, PN dan BN membabitkan empat parti dan satu parti mesra iaitu ’empat plus’ satu dengan PN membabitkan gabungan PAS, BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) dengan parti mesra PN, Parti Bersatu Sabah (PBS).

BN pula mengekalkan komponen partinya iaitu Umno, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dengan parti mesra BN, Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here