PARTI Warisan Sabah bakal melebarkan sayap ke Semenanjung, kata Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, sudah tiba masanya pemimpin dari negeri itu bukan hanya mengikut telunjuk Persekutuan, sebaliknya menjadi kata pemutus dalam soal menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, ini kerana hala tuju baharu parti itu juga adalah bagi menunaikan permintaan kira-kira 300,000 rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung.
“Saya berada di Kuala Lumpur minggu lalu berjumpa dengan orang Sabah di sana, mereka cakap bela kami datuk, ramai orang Sabah bekerja di Semenanjung termasuk Johor.
“Sudah tiba masanya kita kembangkan sayap ke Semenanjung,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan di Dewan Hakka Kota Kinabalu, hari ini.
Mohd Shafie berkata, sebagai parti yang berbilang agama dan bangsa serta memperjuangkan konsep Unity atau Perpaduan, Warisan sememangnya layak untuk mewakili setiap rakyat Malaysia bukan sahaja di Sabah tetapi juga Semenanjung.
Tambahnya, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, konsep Unity yang diperjuangkan turut mendapat sokongan rakyat dan pemimpin dari Semenanjung membolehkan Warisan menjadi parti tunggal terbesar di Sabah.
Sebelum ini, dua parti tempatan Sabah iaitu PBS dan UPKO juga pernah bertanding di Semenanjung.
“Sudah hampir 60 tahun Sabah dan rakan Borneo (Sarawak) menjadi penentu kepada sumber asas ekonomi negara, justeru, tiba masanya untuk Sabah bukan sahaja terlibat dalam rundingan, tetapi pemimpin dari Sabah juga perlu menjadi kata pemutus,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, sudah semestinya ada pihak yang perlu bertanggungjawab membela nasib rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung.
“Di Semenanjung, terdapat lebih 300,000 rakyat Sabah yang bekerja di sana, mereka tentunya mahukan sebuah parti yang memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam proses pembangunan negara,” katanya. – Malaysiapost

