KES baharu Covid-19 di Malaysia kembali melonjak hari ini apabila mencatatkan 2,324 kes, tertinggi pernah dilaporkan sejak wabak itu melanda negara.
Selangor mencatat kes harian tertinggi iaitu 1,428 dengan 842 daripada Kluster Seruling dan 315 Kluster Hentian.
Keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia kini meningkat kepada 78,499 manakala kes aktif adalah 11,867.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Sabah adalah negeri kedua tertinggi iaitu 274 diikuti Kuala Lumpur (136), Perak (115), Johor (100) dan Negeri Sembilan (67).
Pahang mencatatkan 45 kes, Pulau Pinang (42), Kedah (14), Melaka (5), Kelantan dan Terengganu masing-masing tiga kes manakala Sarawak cuma satu kes.
Beliau berkata, seramai 1,112 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah pulih daripada wabak itu kini 66,236.
“Sebanyak tiga kematian baharu direkodkan hari ini membabitkan semua warganegara, menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah 396 kes atau 0.50 peratus daripada keseluruhan kes,” katanya. – Malaysiapost

