SEORANG selebriti yang juga bekas peserta program realiti versi keagamaan akan didakwa di dua mahkamah esok atas pertuduhan liwat dan merogol selepas 13 hari ditahan reman.
Pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, selebriti yang berusia 26 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat.
Difahamkan, selesai prosiding di Petaling Jaya, lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Seksyen Shah Alam untuk didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.
Kedua-dua pertuduhan itu masing-masing memperuntukan hukuman penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, lelaki itu direman sejak 27 November lalu dengan tempoh tahanan remannya dilanjutkan dua kali bagi membantu siasatan kes ke atasnya.
Siasatan yang dijalankan oleh pihak polis membabitkan pelbagai kesalahan seksual seperti Seksyen 376 (rogol), Seksyen 354 (cabul), Seksyen 377 (seks luar tabii) dan Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan).
Sehingga hari ini, terdapat sembilan laporan polis telah dibuat di Shah Alam dan Petaling Jaya.
Dalam laporan terbaharu, mangsa iaitu jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur membuat laporan polis mendakwa dicabul suspek pada Disember tahun lalu di sebuah unit studio di Seksyen 7, Shah Alam. – Malaysiapost

