Gangguan bekalan air: 93 peratus kawasan telah pulih

0
1

SEJUMLAH 805 (93.5 peratus) dari 861 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air sejak awal pagi semalam telah pulih setakat jam 6 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata baki 56 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan bekalan air.

“Sehingga jam 6 petang tadi, bekalan air sudah stabil di 805 kawasan dari 861 kawasan yang terjejas.

“Usaha menstabilkan agihan bekalan air terus giat dilakukan bagi memastikan 56 kawasan yang masih lagi terjejas di Wilayah Klang/Shah Alam, Gombak dan Kuala Langat mendapat bekalan air,” katanya, hari ini.

Menurutnya, empat kawasan iaitu Petaling; Kuala Lumpur; Hulu Selangor dan Kuala Selangor sudah pulih sepenuhnya sehingga jam 1 tengah hari tadi.

Katanya, tiga lagi iaitu Klang/Shah Alam di tahap 91.6 peratus; Kuala Langat (90 peratus) dan Gombak (85.6 peratus).

“Bantuan bekalan air alternatif melalui pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan pengguna yang masih lagi terjejas.

“Air Selangor turut menasihatkan pengguna untuk mematuhi peraturan Pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki, PKS dan pili awam yang disediakan.

“Maklumat bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” ujarnya.

Semalam, sebanyak 861 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat mengalami masalah bekalan air.

Ini berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Rantau Panjang dalam tempoh lima jam disebabkan pencemaran air mentah di Sungai Selangor.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan berkata, masalah itu disebabkan pencemaran air mentah di Sungai Selangor dipercayai berpunca daripada kolam akuakultur ikan keli. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here