KASIHNYA ibu membawa ke syurga, kasihnya bapa tiada penghujungnya.
Itulah gambaran ditunjukkan Abdul Hadi dan isterinya, Natasha terhadap anak sulung mereka Nur Mardhiah Shahadah yang menghidap kanser mata tahap tiga sejak berusia empat bulan.
Malah kanak-kanak kecil itu turut disahkan mengalami masalah genetik dikenali sebagai Chromosome 13Q Deletion Syndrome yang sangat jarang ditemui.
Setakat ini, Nur Mardhiah adalah individu kedua di Malaysia yang disahkan menghidap masalah Chromosime 13Q Deletion Syndrome.
Kesan daripada masalah genetik itu, tumbesaran Mardhiah terbantut tidak seperti kanak-kanak sebaya dengannya malah beratnya kini hanyalah sembilan kilogram, selain tidak mampu berjalan serta memerlukan botol susu khas untuk minum.
Bagi memastikan Nur Mardhiah membesar sihat, anak kecil itu perlu menjalani rawatan kimoterapi setiap dua minggu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dianggarkan setiap bulan ibu bapa Nur Mardhiah memerlukan RM500 untuk berulang dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk membolehkan dia menjalani rawatan.
Difahamkan, keluarga itu memerlukan sekurang-kurangnya RM1,100 sebulan untuk membesarkan Nur Mardhiah dengan pendapatan bapanya RM1,500 sebulan yang bekerja sebagai buruh.
Atas dasar prihatin, MyFundAction menyediakan bantuan untuk membantu keluarga Abdul Hadi dan Natasha serta kanak-kanak lain yang senasib untuk meringankan beban mereka yang kurang bermampuan.
Kepada golongan dermawan di luar sana bolehlah membantu meringankan beban keluarga Nur Mardhiah dengan menghulurkan bantuan melalui Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (MyFundAction) 5505 1097 0218 (Maybank) dengan rujukan ‘Mardhiah’. – Malaysiapost

