SELEPAS isu penjualan ladang sawit seluas 15,000 hektar milik kerajaan negeri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengemukakan satu lagi persoalan kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ahli Parlimen Pekan itu menerusi catatan di Facebooknya bertanya kepada Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu mengenai surat yang tular berkaitan pemberian konsesi ladang seluas 298.4 hektar kepada pemimpin parti tersebut.
“Saya juga harap Peja (Ahmad Faizal) akan berbesar hati untuk juga menjawab surat yang sedang menular.
“(Surat tersebut) yang mendakwa Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) juga telah memberi konsesi ladang seluas 746 ekar selama 30 tahun kepada Ketua Penerangan Armada PPBM (Bersatu) Perak.
“Saya harap Peja boleh tolak tuduhan jahat ini agar reputasi kerajaan PN (Perikatan Nasional) Perak tidak tercemar,” katanya.
Semalam, Ahmad Faizal menolak dakwaan Najib berhubung penjualan ladang sawit seluas 15,000 hektar milik kerajaan Perak antara alasan Umno menarik balik sokongan terhadapnya sebagai Menteri Besar.
Pada 4 Disember lalu, Najib mendakwa penjualan PT Pinang Witmas Sejati di Palembang, Indonesia kepada syarikat di Singapura untuk satu pertiga daripada nilainya antara punca Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jumaat lalu.
Bekas Perdana Menteri itu turut mendakwa ladang itu dijual menerusi rundingan terus tanpa tender dan mengulangi kenyataan bekas Adun Slim, Allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib yang ladang itu bernilai RM1.03 bilion serta memberi keuntungan RM40 juta setiap tahun kepada kerajaan negeri sebelum pertukaran kerajaan pada 2018.
Bagaimanapun, Ahmad Faizal menolak dakwaan itu dengan menyatakan PPPNP mempelawa 11 syarikat tempatan dan asing membuat bidaan antara 15 Mei hingga 30 September 2019.
Katanya, antara syarikat itu ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), Genting Plantations Bhd, United Plantations Bhd, Sime Darby Plantation Bhd serta syarikat Indonesia – PT Genting Plantation Nusantara dan PT Bio Nusantara Teknologi.
Beliau berkata, sebuah firma jurunilai bebas melakukan penilaian empat kali sejak 2007, dengan dua penilaian terakhir ialah RM500 juta pada 2018 dan RM525 juta tahun ini.
Berdasarkan data PPPNP, katanya, ladang itu menyumbang dividen antara RM5.5 juta dan RM32 juta pada dekad lalu, dengan yang tertinggi berjumlah RM32.7 juta pada 2011. – Malaysiapost

