PAS Perak belum terima titah mengadap Sultan Nazrin

0
1

PAS Perak belum menerima secara rasmi titah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung situasi politik di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria berkata pihaknya akan menghadap Sultan Perak apabila dititahkan secara rasmi berbuat demikian.

“Setakat ini kami (PAS Perak) belum terima lagi secara rasmi titah menghadap tuanku,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu telah mengarahkan semua tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Perak supaya hadir menghadap setelah menerima titah rasmi daripada Sultan Nazrin.

Selain Razman yang juga Adun Gunung Semanggol, dua lagi wakil rakyat PAS adalah Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Semalam, Razman berkata, pihaknya membatalkan majlis menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di Ipoh yang dijadual jam 3 petang, atas arahan pucuk pimpinan parti.

Selain PAS, Bersatu juga tidak menghadap Sultan Nazrin semalam dan menurut Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pihaknya belum menerima titah secara rasmi untuk menghadap baginda.

Semalam, Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin menitahkan wakil daripada Adun Bersatu dan PAS untuk menghadap baginda berhubung kemelut politik negeri.

Mohd Annuar dilaporkan berkata istana menunggu wakil kedua-dua parti untuk menghadap pada bila-bila masa bagi mendengar pendirian mereka tentang penubuhan kerajaan negeri yang baharu.

Kemelut politik Perak tercetus selepas Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli Dewan terhadap Menteri Besar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), Jumaat lalu.

Menerusi usul dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru), Ahmad Faizal hanya mendapat sokongan 10 undi berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali dan mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sehari selepas itu.

Setakat ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad; pimpinan Pakatan Harapan iaitu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi serta Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim telah menghadap Sultan Nazrin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here