SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu dan PAS mengadap untuk membuktikan calon Menteri Besar Umno mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Perak telah menerima maklumat dan status terkini dipersembahkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi.
Katanya, baginda perlu diyakinkan perkara yang disembahkan berkaitan calon Menteri Besar perlu dibuktikan terlebih dahulu.
“Oleh kerana itu Tuanku menitahkan Adun Bersatu dan PAS untuk mengadap pada bila-bila masa hari ini,” katanya kepada media di Istana Kinta di Ipoh sebentar tadi.
Mohd Annuar berkata, istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar hanya akan berlangsung selepas Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yakin Umno memiliki majoriti mudah untuk menubuh kerajaan.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengulas sama ada wakil Pakatan Harapan (PH) akan turut dipanggil mengadap.
“Setakat ini pihak istana memaklumkan Adun Bersatu dan PAS sudah dititah mengadap untuk baginda mendengar pendirian mereka dalam soal penubuhan kerajaan Perak,” katanya.
Pagi tadi, Ahmad Zahid memaklumkan Umno telah mempersembahkan surat memohon perkenan Sultan Perak mempertimbangkan calon Menteri Besar.
“Pengumuman untuk nama Menteri Besar Perak akan dibuat oleh Tuanku sendiri dan sebarang kenyataan selepas ini akan dikeluarkan oleh pihak istana,” katanya.
Beliau juga memaklumkan Umno amat yakin calon Menteri Besar tersebut telah mendapat sokongan majoriti Adun yang lebih daripada mencukupi. – Malaysiapost

