Kes Altantuya: Hukuman mati Azilah kekal

0
2

MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan perbicaraan semula bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri untuk mengetepikan sabitan serta hukuman mati terhadapnya atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, 14 tahun lalu.

Dengan itu, hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Persekutuan bagi pertuduhan tersebut sebelum ini dikekalkan.

Keputusan dibuat panel hakim terdiri Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan empat Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernom Ong Lam Kiat, Puan Seri Zaheha Yusof dan Datuk Zabariah Mohd Yusof.

Azahar ketika membacakan keputusan itu, berkata Azilah memasukkan bukti dalam permohonan semakannya, yang tidak pernah digunakan dalam perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Beliau berkata, pemohon memasukkan bukti baharu iaitu akuan bersumpah (SD) yang mendakwa pembunuhan itu dilakukan dengan arahan pihak ketiga.

“Perlu ditekankan di sini, beliau berdiam diri mengenai kononnya bukti baharu ini ketika siasatan dijalankan, perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan ketika rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Juga ketika rayuan di Mahkamah Persekutuan bukti material ini yang dikatakan ada ketika perbicaraan berjalan, dengan sengaja tidak didedahkan oleh pemohon sendiri.

“Pemohon sendiri tidak memberitahu perkara itu kepada polis, mahkamah dan peguamnya sendiri… jelas dalam penghakiman kami, penerimaan bukti ini bercanggah dengan prinsip undang-undang,” katanya seperti dilapor BH.

Sehubungan itu, Azahar berkata, panel itu berpendapat di hadapan mahkamah itu, tiada ketidakadilan dalam kes itu serta tiada alasan mengatakan berlaku kegagalan terhadap keadilan atau keadaan luar biasa, membolehkan permohonan itu boleh disemak mengikut peruntukan Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

Justeru, katanya, mahkamah itu menolak permohonan semakan yang difailkan Azilah.

Terdahulu, Azahar berkata, pengakhiran kepada satu-satu prosiding undang-undang adalah perlu dalam perundangan jenayah manakala tiada lagi sebarang laluan untuk rayuan selepas kes itu didengar di Mahkamah Persekutuan.

Katanya, dalam prosiding membabitkan permohonan semakan oleh Azilah itu, mahkamah berkenaan tiada kuasa untuk membuka semula, mendengar semula dan memeriksa semula keputusan bertarikh 13 Januari 2015 kecuali semakan berdasarkan kepada peruntukan Peraturan 137 itu.

Azilah diwakili peguam J Kuldeep Kumar dan permohonan semakan yang difailkan pada 5 Disember 2019 adalah terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015, yang mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 serta memohon supaya kes itu dibicarakan semula.

Mahkamah Rayuan sebelum ini membenar rayuan Azilah serta seorang lagi tertuduh dalam kes itu, Sirul Azhar Umar, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 mendapati mereka bersalah kerana membunuh wanita itu dan menjatuhi hukuman mati terhadap mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here