Nurul Huda Abhar
PENDAKWAH bebas, Ebit Lew membantu seorang wanita yang dahulu bekerja sebagai penulis di sebuah majalah berbahasa Inggeris, tetapi kini penghantar makanan ‘Food Panda’ selepas kehilangan kerja.
Menerusi coretannya di Facebook, Ebit memberitahu wanita yang digelar ‘auntie’ itu kehilangan kerja sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.
Malah, lebih sayu apabila diberitahu wanita itu menghantar makanan menggunakan Perodua Kancil yang berusia 25 tahun.
“Saya tolong repair (baiki) kereta Kancil auntie, 25 tahun kereta ni. Katanya dia sangat sayang keretanya. Gantikan tayar baru dan servis. Seronok menangis gembira bila saya tolong repair kereta ni. Beri sedikit duit belanja.
“Dan nanti nak tengok rumahnya dengarnya dah bocor dan ada kerosakan. Tadi masa parking, dia nak bagi tiket parkingnya bayarkan untuk kereta kawan-kawan saya. Takper (tak mengapa) auntie. Baiknya,” tulisnya dalam catatan hari ini.
Menurut Ebit, wanita itu lebih senang bekerja sebagai penghantar makanan bersama generasi anak muda kerana tidak wujud politik pekerjaan.
“Doakan auntie ni. Katanya best kerja begini. Anak muda semua baik-baik. Tiada politik kerja. Tengah ke sana sini. Tengok ada job (kerja) RM4 masuk. Happy (gembira) auntie ni. Lepas tu ada lagi job RM7. Jarang dapat RM7. Sedihnya rasa, kuat dan rajin,” katanya lagi.
Pandemik Covid-19 memberi impak besar dalam kalangan rakyat termasuk ramai yang hilang pekerjaan ketika dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu, ramai pekerja yang terpaksa menerima bayaran separuh gaji atau syarikat memaksa mengambil cuti tanpa gaji termasuk melepaskan mereka apabila premis perniagaan tidak boleh beroperasi kerana PKP. – Malaysiapost

