[PARLIMEN] BLOK pembangkang diselar kerana merumitkan Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), hari ini.
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, tindakan pembangkang meminta undi belah bahagi melambangkan mereka tidak patriotik membantu sektor pelancongan negara yang terjejas teruk akibat kesan pandemik Covid-19.
“Sepanjang perbahasan, tiada isu kontroversi, tiada perbalahan, malah Menteri MOTAC (Datuk Seri Nancy Shukri) menjawab dengan tenang. Namun kesudahannya tetap sama, pembangkang tetap juga minta undi belah bahagi.
“Sedangkan semua sedia maklum, sektor yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19 ialah pelancongan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan, berkata, meskipun berbeza aliran politik, Ahli Parlimen harus sehati sejiwa membantu menghidupkan semula sektor pelancongan di Malaysia.
“Tapi apakan daya, pembangkang tetap membangkang kerana namanya pun pembangkang?
“Syukur, setelah kiraan undi belah bahagi untuk Belanjawan 2021 MOTAC, sebanyak 109 undi menyokong dan 96 tak sokong, belanjawan bagi MOTAC diluluskan!,” katanya. – Malaysiapost

