Akhirnya Loqman ditemui…

0
2

SELEPAS 11 hari, akhirnya penantian keluarga Mohd Loqman Hamka yang hilang di Sungai Pahang berakhir apabila mayat pemuda itu ditemukan terapung di jeti Laman Lesung, Batu Papan, Temerloh, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, mayat Mohd Loqman, 20, ditemui pada jam 8.10 pagi oleh penduduk berhampiran dalam keadaan lengkap berpakaian dan identitinya disahkan oleh ahli keluarga mangsa.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 32 km dari tempat dia dikatakan terjatuh semasa memeriksa rawai ikan di Kampung Tebing Tinggi, Temerloh dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk proses bedah siasat,” katanya seperti dilapor Bernama.

Sementara itu, bapa Mohd Loqman, Hamka Abu Bakar, 62, berkata, walaupun anaknya ditemukan tidak lagi bernyawa namun dia bersyukur kerana jenazah anak bongsu daripada empat beradik itu akhirnya ditemui sekali gus menamatkan penantian keluarga.

“Saya berterima kasih kepada pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus membantu kami mencari Mohd Loqman sejak hari pertama dia terjatuh ke dalam sungai. Kami bersyukur doa kami sebagai ibu bapa untuk melihatnya kali terakhir dimakbulkan Allah,” katanya.

Pada 27 November lalu, Mohd Loqman dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu selepas keluar rumah pada 9.30 pagi dan kehilangannya disedari beberapa jam kemudian apabila rakannya menjumpai bot milik keluarga mangsa hanyut.

Kisah kehilangan Mohd Loqman turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Khamis lalu bersama tiga anakanda termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Selain bomba dan polis, operasi SAR turut melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), namun operasi tersebut dihentikan secara rasmi semalam ekoran tiada perkembangan positif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here