Keputusan jual aset TH Plantations ditarik balik

0
1

KERAJAAN menarik balik keputusan menjual anak syarikat TH Plantations Bhd, Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam satu kenyataan bersama berkata, keputusan yang dibuat pada 4 Disember lalu adalah berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira pelbagai faktor.

“Kami bertekad untuk terus memajukan TH Plantations dan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan lebih berjaya dan gah di dalam negara serta di persada antarabangsa.

“Kami berdoa dan bermunajat kepada-Nya semoga Allah SWT memberkati usaha kami dalam memartabatkan institusi TH,” kata kenyataan berkenaan.

Sementara itu, kedua-dua Menteri berkata, permohonan perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco melalui langganan 100 peratus saham dalam BSV dan MWM daripada TH Plantations adalah tertakluk kepada Garis Panduan Perolehan Hartanah yang berkuatkuasa sejak 1 Mac 2014.

Katanya, garis panduan itu menetapkan sebarang permohonan perolehan tanah secara langsung atau tidak langsung yang mengakibatkan pengurangan pemilikan hartanah kepentingan Bumiputera oleh bukan Bumiputera adalah tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan Bumiputera.

“Berdasarkan ketetapan ini, surat kelulusan bertarikh 24 November 2020 dikeluarkan ke atas permohonan ini dengan syarat pihak Tamaco hendaklah mewujudkan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan Bumiputera dalam tempoh satu tahun daripada tarikh surat kelulusan dikeluarkan.

“Kelulusan secara bersyarat ini diberi atas justifikasi yang diberikan oleh pihak TH Plantations demi kelangsungan operasi dan kestabilan kewangan syarikat,” katanya lagi.

Terdahulu, wujud beberapa pihak yang menyuarakan bantahan atas tindakan TH Plantations mahu menjual asetnya kepada syarikat swasta.

Bantahan itu adalah disebabkan TH Plantations gagal memberikan penjelasan yang memuaskan berkenaan penjualan harga eset berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here