Nurul Huda Abhar
KESEDIAAN PKR Perak untuk bekerjasama dengan semua pihak hanya akan mencepatkan penubuhan sebuah kerajaan negeri yang dapat memupuk semangat perpaduan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, semua parti politik perlu lebih matang dan mengambil sikap terbuka.
Menurut beliau, negara memerlukan pemahaman landskap politik baharu yang dapat menyatukan semua kaum dalam menempuhi cabaran dunia pasca Covid-19 secara muafakat.
“Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah adalah untuk semua pemimpin politik agar mencari formula terbaik.
“Andainya kita semua bekerjasama, maka wujudlah satu landskap politik yang baharu dan berteraskan perpaduan, sejajar dengan titah Tuanku.
“PKR Perak menjemput semua ahli politik mengutamakan perpaduan demi kesejahteraan rakyat. Sebarang usaha perdamaian amat penting pada masa ini agar kepentingan rakyat tidak terabai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, sebagai pemimpin jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab hanya kerana tidak bersefahaman.
“Apa yang jelas, kita bersedia memberikan sokongan kepada kerajaan yang mengutamakan semangat kesepakatan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, beliau bersama dua lagi pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, petang tadi.
Beliau bersama Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Asmuni Awi mengadap Sultan Perak berkaitan dengan perkembangan politik negeri itu. – Malaysiapost

