Usul undi tidak percaya harus disegerakan – Majlis Presiden PH

0
1

Fitri Nizam

KERAJAAN perlu menyegera dan mengutamakan usul undi tidak percaya yang telah dibawa Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, Majlis Presiden PH telah mengadakan mesyuarat berhubung perkembangan politik di Perak dan membincangkan laporan penurunan penarafan Fitch Ratings daripada AAA- kepada BBB+.

Katanya, penurunan penarafan itu adalah satu tamparan hebat buat kerajaan khususnya Menteri Kewangan.

“Ia menampakkan kegagalan perancangan dasar serta tatakelola kerajaan, lanjutan dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan kerajaan pada Mac lalu.

“Kesan penurunan penarafan ini terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya, namun apa yang jelas adalah langkah-langkah yang diusahakan Menteri Kewangan selama ini telah gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan penarafan yang cukup serius ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut kenyataan itu lagi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya mengangkat prinsip ketelusan dan tatakelola yang baik dengan pelaksanaan langkah-langkah seperti tender terbuka dan pelantikan profesional bukannya ahli politik ke syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), antara lainnya. 

Malangnya, ini tidak berlaku di bawah pentadbiran sedia ada.

“Oleh itu, demi menamatkan spekulasi berkaitan ketidaktentuan hala tuju politik, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi dan mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara, Majlis Presiden PH berpendirian bahawa kerajaan perlu menyegera dan mengutamakan usul undi tidak percaya yang telah dibawa Ahli Parlimen dalam Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here