Covid-19: 1,600 kes baharu, Negeri Sembilan naik mendadak

0
1

Fitri Nizam

SEBANYAK 1,600 kes positif Covid-19 direkodkan hari ini dengan menyaksikan peningkatan mendadak di Negeri Sembilan disusuli dengan Selangor.

Berdasarkan laporan harian, hari ini, Negeri Sembilan mencatatkan sebanyak 541 kes iaitu 33.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata lonjakan kes di Negeri Sembilan adalah berpunca daripada pertambahan mendadak kes dalam Kluster Bakti iaitu sebanyak 500 kes.

Bagaimanapun, beliau berkata kes itu adalah terasing di dalam kawasan penjara.

“Secara keseluruhan, 584 kes (36.5 peratus) yang dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan dengan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Bakti (500 kes), Kluster Tembok (49 kes), Kluster PTS Sibuga (17 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (8 kes), Kluster Matambai (7 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (2 kes), dan Kluster GK Tawau (1 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pecahan kes mengikut negeri adalah Negeri Sembilan (541), Selangor (426), Sabah (284), Kuala Lumpur (148), Johor (98), Pulau Pinang (55), Perak (54), Kedah (18), Labuan (5), Kelantan (3), Sarawak (2), Pahang (1) dan Melaka (1).

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 129 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 384 kes (0.52 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sehingga kini adalah sebanyak 74,294 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 11,604 kes.

Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.  -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here