Fitri Nizam
SELEPAS 24 jam Kuala Selangor diumumkan bebas daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu di daerah terbabit.
Kluster yang dimaksudkan adalah Kluster Malawati dengan kes indeks iaitu kes-65,188 dilaporkan positif Covid-19 pada 30 November lalu hasil saringan individu bergejala.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga hari ini, seramai 143 individu sudah disaring.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan satu kluster baharu iaitu Kluster Tapak Bina Awan Lembah yang dikesan di Lembah Pantai dan Titiwangsa di Kuala Lumpur serta daerah Klang di Selangor.
“Dua kes indeks daripada kluster ini dilaporkan positif Covid-19 sejak 4 Disember lalu hasil saringan individu bergejala dan saringan kendiri.
“Kedua-dua kes indeks adalah pekerja di sebuah tapak pembinaan di daerah Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Sehingga hari ini, sejumlah 441 individu telah disaring dengan 35 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.
Sementara itu, dua kluster yang ditamatkan hari ini adalah Kluster Kertang dan Kluster Sembulan.
Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 187 kluster di seluruh negara. – Malaysiapost

