[PARLIMEN] KERAJAAN tidak terbabit dengan mana-mana pengumuman atau kerjasama pihak swasta berhubung pembekalan vaksin Covid-19 ke negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin, berkata pengumuman atau rundingan berkenaan juga tidak ada kaitan dengan cadangan perolehan kerajaan untuk mendapatkan vaksin wabak itu.
Katanya, mana-mana pihak swasta di negara ini boleh berunding dengan pengeluar vaksin sama ada untuk menjadi ejen atau pengedar syarikat berkenaan kerana kerajaan tidak boleh menghalangnya.
Bagaimanapun beliau berkata, kemasukan vaksin atau pelaksanaan sebarang ujian klinikal di negara ini harus mendapat kelulusan kerajaan terlebih dahulu.
“Ini adalah pengumuman berkenaan kerjasama swasta, ia tidak ada kena mengena dengan perolehan kerajaan. Mana-mana syarikat boleh berunding dengan syarikat antarabangsa untuk menjadi ejen dan pengedar mereka dan kita tidak boleh kawal sama ada mereka nak buat perjanjian komersial dengan syarikat pengeluar vaksin di luar.
“Bagaimanapun, jika mereka tidak dapat kelulusan daripada ‘Clinical Research Malaysia’, mereka tidak boleh buat ujian klinikal di sini, dan jika mereka tak dapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), mereka tidak boleh bawa vaksin itu ke Malaysia,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab persoalan yang dibangkitkan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) ketika sesi perbahasan berhubung pengumuman sebuah syarikat swasta yang dilantik sebagai pengedar tunggal vaksin Covid-19 yang dihasilkan sebuah syarikat antarabangsa di China.
Justeru, beliau menegaskan, pengumuman syarikat swasta terbabit tidak bermaksud mereka mendapat perolehan daripada kerajaan.
“Perolehan daripada kerajaan setakat ini hanya dengan COVAX iaitu 10 peratus daripada populasi dan Pfizer, 20 peratus daripada populasi yang dibuat terus dengan Pfizer tanpa menggunakan orang tengah atau pihak ketiga,” katanya.
Menjawab celahan Dr Dzulkefly berhubung laporan perolehan vaksin daripada Pfizer dikatakan terlalu mahal, Khairy berkata dakwaan itu adalah tidak berasas.
“Berkenaan harga, setakat ini mengikut rundingan, kita runding terus dengan syarikat dan harga itu adalah harga diberikan syarikat terbabit, tiada harga tambahan. Seperti Pfizer, harga meliputi hantaran, tidak termasuk harga untuk penyimpanan.
“RM3 bilion (peruntukkan vaksin) adalah jumlah keseluruhan dan kita sedang cuba supaya ia termasuk semua logistik dan penyimpanan.
“Saya tidak boleh cakap harga sebenar perolehan dengan Pfizer sebab ini adalah perjanjian tidak boleh didedahkan (NDA),” katanya. -Malaysiapost

