Fitri Nizam
SERAMAI 518 individu ditahan selepas didapati mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, kesalahan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal merekod jumlah tertinggi iaitu sebanyak 193 kes.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pasukan task force Operasi Pematuhan juga menahan 119 individu kerana mengunjungi pusat hiburan, 71 kes tidak memakai pelitup muka, 58 kes gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan 77 lain-lain kes.
“Daripada jumlah keseluruhan yang ditahan, 517 individu dikenakan kompaun manakala seorang lagi direman.
“Sebanyak 2,361 pasukan pematuhan yang melibatkan 11,682 anggota telah membuat pemantauan di 3,543 pasar raya, 4,880 restoran serta 1,623 penjaja, 1,293 kilang, 3,377 bank dan 508 pejabat kerajaan.
“Juga dipantau, sebanyak 1,024 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air serta 62 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, seramai 47 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Ops Benteng yang dilaksanakan di seluruh negara.
“Operasi melibatkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) itu turut merampas dua kenderaan darat,” katanya. – Malaysiapost

