Lebih 200 pekerja The Star diberhentikan

0
2

LEBIH 200 pekerja termasuk wartawan dan jurugambar akhbar The Star dilaporkan diberhentikan dengan notis pemberhentian diberikan, semalam.

Sumber memaklumkan pihak pengurusan akhbar harian itu memberikan surat pemberhentian kerja kepada hampir 50 wartawan dan petugas lain dari Jabatan Pengarang.

Manakala, hampir 200 pekerja dari jabatan lain turut menerima notis pemberhentian kerja.

Memetik laporan FMT, pengurusan The Star dijangka menghentikan hampir 150 pekerja lagi awal tahun depan.

Sementara itu, beberapa kesatuan sekerja mengecam tindakan The Star dan menegaskan pemberhentian kerja itu tidak patut dilakukan tergesa-gesa dan tanpa menerokai pilihan lain.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan, Farah Marshita Abdul Fatah, berkata walaupun ekonomi semasa suram, majikan harus menjadikan pemberhentian kerja sebagai pilihan akhir.

“Mereka tidak harus mengambil jalan mudah dengan memberhentikan pekerja.

“Para wartawan sudah pun menanggung kepayahan seperti pemotongan elaun, malah waktu bekerja mereka juga dipendekkan,” katanya.

Farah berkata majikan The Star sepatutnya menawarkan kakitangan terbabit untuk bercuti tanpa gaji antara enam bulan hingga setahun dan bukannya diberhentikan terus.

“Masa kini amat mencabar dan sebagai petugas media, kami memberi keutamaan kepada tugasan kami setiap waktu. Namun di waktu susah, lazimnya kami yang dikorbankan dahulu,” katanya.

Manakala, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Halim Mansor, berkata The Star sepatutnya menimbang pendekatan lain untuk mengurangkan kos dan bukannya memberhentikan pekerja.

Beliau berkata dalam keadaan sekarang, pengurusan akhbar itu sepatutnya menimbang opsyen seperti mengurangkan gaji kakitangan untuk menyelamatkan pekerjaan mereka.

“Semua syarikat mempunyai tanggungjawab terhadap kakitangan mereka, khususnya dalam persekitaran mencabar ketika ini. Mereka (The Star) seharusnya berikhtiar agar kakitangan mengekalkan mata pencarian mereka.

“Apabila sesebuah syarikat memberhentikan pekerja, ia sebenarnya mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalahnya.

“Kerajaan sepatutnya melarang syarikat memberhentikan pekerja dalam persekitaran yang ada sekarang,” katanya.

The Star melaksanakan program pemberhentian kerja itu selepas dua Skim Pemisahan Sukarela (VSS) sebelum ini tidak mencapai sasaran pengurangan tenaga kerja.

Dalam suku ketiga tahun ini, Kumpulan Star Media mencatatkan keuntungan bersih RM26.9 juta.

Kumpulan itu mencatatkan hasil pendapatan RM48.2 juta dalam suku ketiga, penambahan 53% berbanding RM31.5 juta yang diraih dalam suku kedua. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here