Fitri Nizam
[Parlimen] USUL untuk merujuk Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan parlimen kerana salah kira undian belah bahagi ditolak.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, dalam surat penolakan, memaklumkan tiada keperluan untuk membahaskan usul tersebut kerana Shabudin mengakui kesilapannya dan telah meminta maaf.
Selain itu, beliau berkata, tindakan telah diambil untuk memperbaiki proses pengundian blok tersebut.
Dalam suratnya, Azhar berkata, usul yang dikemukakan tidak menjadi sesuatu yang perlu disegerakan dan dia membuat ketetapan untuk menolak usul berkenaan.
“Kekhilafan ini turut diakui Yang Berhormat Tasek Gelugor apabila dia telah memaklumkan hal ini kepada saya sejurus selepas keputusan belah bahagian dibuat, disusuli permohonan maaf dalam Dewan Rakyat pada 1 Disember 2020,” katanya.
Sementara itu, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), yang mengemukakan usul itu menyifatkan penolakan usul berkenaan dibuat secara teknikal.
Menurutnya, tindakan Shahbudin telah melanggar Peraturan Tetap 47 (1).
Pada 1 Disember lalu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan, adalah 106 dan bukannya 107 seperti diumumkan.
Kesilapan berlaku apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu tersilap menandakan bahawa Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Renggas) turut menyokong RUU itu sedangkan wakil rakyat BN itu tiada di dalam dewan.
“Saya memberi makluman bahawa saya telah mendapat makluman daripada Shahbudin Yahya, ahli parlimen Tasek Gelugor semalam berkenaan senarai undi bagi blok C bagi undi belah bahagi bahawa beliau telah tersilap menandakan bagi ahli parlimen Padang Rengas bersetuju walaupun ahli parlimen tidak hadir.
“Oleh itu saya meminta keputusan belah bahagi anggaran perbelanjaan Kementerian Kewangan ditukar kepada 18 tidak hadir kepada 19. Dan 107 ahli setuju, kurang satu akan jadi 106. Manakala, 95 ahli kekal tidak setuju.
“Dengan itu, saya memerintahkan setiausaha untuk betulkan bilangan undi tersebut. Dengan perubahan undi tersebut ia tidak menjejaskan keputusan belah bahagian tersebut,” katanya yang membaca kenyataan Azhar. -Malaysiapost

