Fitri Nizam
[Parlimen] DEWAN Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dengan undi belah bahagi.
Keputusan itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, selepas diputuskan menerusi undian belah bahagian dengan 110 menyokong manakala 104 tidak menyokong dan enam tidak hadir.
Undian itu dilaksanakan selepas lebih 15 Ahli Parlimen pembangkang bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi kaedah itu.
MITI menjadi kementerian keempat mendapat kelulusan dengan ditentukan menerusi kaedah itu, selain Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan, dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Sebelum undian dijalankan, sesi penggulungan bagi kementerian berkenaan dilakukan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Terdahulu, Azhar memutuskan sidang ditempohkan selama 10 minit lagi, tambahan selepas dua minit loceng pertama dibunyikan bagi membolehkan ruang masa diberi kepada Ahli Parlimen untuk berada di dalam dewan.
Proses dijalankan dengan pembaharuan apabila penghitung undi diiringi bentara Parlimen dan seorang wakil daripada pihak berlawanan bagi mengelak kesilapan kiraan undi berulang selain mengarahkan pintu masuk dewan dikunci sebaik undian bermula.
Ketika pengumuman Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, MITI diperuntukan sebanyak RM 1.206 bilion iaitu RM582.34 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM623.89 juta bagi perbelanjaan pembangunan. -Malaysiapost

