Nurul Huda Abhar
KES positif harian Covid-19 mencatatkan 1075 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 69,095.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor masih mencatat kes harian tertinggi iaitu 459 kes, diikuti Sabah 310 kes dan Johor 78 kes.
Katanya, Kuala Lumpur mencatatkan 49 kes, Negeri Sembilan (52), Pulau Pinang (43), Perak (26), Kedah (32), Kelantan (9), Pahang (4), Melaka (2), serta masing-masing satu kes di Sarawak dan Terengganu.
“Bilangan kes sembuh Covid-19 hari ini adalah 948 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya kini 57,917 iaitu 83.8 peratus daripada keseluruhan kes,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 11 kematian hari ini, dan ke semuanya adalah warganegara menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah 376 iaitu 0.54 peratus daripada keseluruhan kes.
Tambahnya, sehingga kini terdapat 116 kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 46 memerlukan bantuan pernafasan.
-Malaysiapost

