Agong berkenan sertai operasi menyelamat mangsa lemas di Temerloh

0
1

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang, Temerloh, Pahang hari ini.

Menerusi hantaran yang dimuatnaik di laman Facebook Istana Negara, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berangkat mengiring Seri Paduka Baginda dalam operasi yang mengambil masa selama 45 minit bermula jam 3 petang.

Selain itu, Baginda turut menerima sembah taklimat berkenaan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda ini mencerminkan prihatin dan keperibadian tinggi Baginda terhadap rakyat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan,” tulis hantaran itu.

Mangsa, Loqman bin Hamka, 20, dari Kampung Kuala Kujan dipercayai mati lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang pada hari Jumaat lalu.

Difahamkan, beliau membantu keluarganya menternak ikan patin sangkar di kawasan terbabit.

Pada hari kejadian, Loqman keluar dari rumah pada jam 9.30 pagi dan memaklumkan kepadabapanya, Hamka Abu Bakar, 61, untuk melihat rawai ikan di tempat kejadian.

Beberapa jam kemudian, rakan lelaki itu memberitahu bapa Loqman bot miliknya telah hanyut tetapi mangsa tiada dalam bot tersebut. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here