Aiman Hanif
DEWAN Perdagangan Industri Asean (DPIA) hari ini memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan portal berita Malaysiapost bagi penerbitan program Sembang Sukses.

Program yang akan disiarkan di portal, Facebook dan YouTube rasmi Malaysiapost itu akan menampilkan tokoh usahawan terkemuka setiap minggu, berkongsi rahsia kejayaan mereka dalam dunia perniagaan.
Perjanjian kerjasama itu ditandatangani Presiden DPIA, Datuk Sohaimi Shahadan dan Senior Editor Malaysiapost, Wan Faizal Ismayatim di Petaling Jaya, hari ini.
Sohaimi, berkata program itu bertujuan mengenengahkan tokoh-tokoh usahawan berjaya bukan saja untuk berkongsi tips-tips kejayaan, malah menjadi inspirasi kepada mereka yang menceburi dunia perniagaan.
“Program ini bertujuan mengenengahkan individu-individu yang berjaya dalam dunia perniagaan, khususnya dalam kalangan ahli-ahli DPIA.
“Selain berkongsi tips, ini juga peluang kepada usahawan-usahawan untuk mengenengahkan jenama serta produk keluaran syarikat mereka.
“Kita membuka peluang kepada usahawan-usahawan untuk tampil menyertai program ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu Wan Faizal berkata pihaknya menyambut baik kerjasama dengan DPIA bagi menjayakan program itu yang pastinya memberi manfaat kepada mereka di luar sana untuk menceburi dunia perniagaan.

Katanya, Malaysiapost amat berterima kasih kepada DPIA kerana memilih portal ini bagi menjalinkan kerjasama strategik itu.
“Kita amat menyambut baik kerjasama strategik ini dan ia adalah satu program yang baik dan bermanfaat untuk disajikan kepada penonton.
“Sembang Sukses ini akan disiarkan di platform Facebook dan YouTube Malaysiapost. Kita harap program ini memberi inspirasi kepada bakal usahawan,” katanya.
Sebelum ini, Malaysiapost turut berkolaborasi dengan DPIA menerusi program Sukses Sifu yang menghimpunkan 31 usahawan terkemuka tanah air, termasuk selebriti popular Neelofa. – Malaysiapost.

