UMAT Islam dituntut melakukan solat taubat bagi menyucikan diri dari dosa-dosa mereka.
Ia kerana pintu taubat sentiasa terbuka, menunjukkan betapa Allah SWT menyayangi hamba-hambaNya untuk kembali jalan yang benar.
Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk ‘Menyingkap Rahsia Taubat’ hari ini menjelaskan bahawa memohon taubat merupakan jalan terbaik bagi membersihkan hati dan kembali kepada jalan agama.
Kita perlu beriman kepada Allah SWT yang memiliki kekuasaan atas tiap-tiap makhluk-Nya.
Kita beriman bahawa Allah SWT merupakan tempat untuk kita memohon pertolongan dan bantuan. Kita juga sedar bahawa kita hamba yang sangat lemah.
Walaupun Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan-Nya. Kita juga beriman bahawa sesuatu yang berlaku berdasarkan qadha’ dan qadar Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud dalam Surah al-Hadid ayat 22, “Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”.
Begitu juga dengan situasi yang berlaku pada hari ini. Sebagai umat yang beriman, kita
seharusnya menghadapi musibah yang berlaku ini dengan sabar dan redha.
Dalam pada kita menuruti segala nasihat dan panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa, kita juga dituntut untuk meningkatkan taubat dan munajat kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-An’am ayat 17 yang bermaksud “Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada mu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
Dalam menghadapi sebarang bentuk ujian, Islam telah menggariskan beberapa
panduan untuk kita menghadapinya.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anfal ayat 33 yang dibacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud “Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka yang sedang mereka beristighfar (meminta ampun)”.
Faham dari ayat ini bahawa Allah SWT mengajar kita untuk sentiasa bertaubat dan sentiasa beristighfar.
Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan menyeksa hamba-Nya yang sentiasa bertaubat dan beristighfar.
Selain itu, dalam Surah Hud ayat 3 Allah SWT berfirman dalam ayat yang bermaksud “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik) kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepada-Nya; supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya)”.
Justeru, kita sepatutnya menguatkan lagi hubungan kita dengan Allah SWT.
Kita mestilah terus bermunajat kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh dan berusaha menghindarkan diri dari berterusan melakukan maksiat.
Dalam pada itu juga, kita hendaklah terus melaksanakan amar ma’ruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran).
Kita juga hendaklah sentiasa membanyakkan berdoa kepada Allah SWT sama ada dalam keadaan senang atau dalam kesusahan.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmidzi dan al-Hakim, mafhumnya: “Sesiapa yang suka Allah makbulkan permohonannya ketika dalam
kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa senang”.
Ketahuilah bahawa bertaubat dari dosa-dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil
merupakan tuntutan syarak dan tidak boleh ditangguh.
Berterusan atas dosa-dosa kecil pula akan mengekorinya besar.
Segeralah bertaubat sekiranya kita berdosa walaupun melakukan dosa kecil. -Malaysiapost

