JENAYAH rogol dan mencederakan mencatatkan peningkatan 5.5 dan 2.9 peratus pada 2019 berbanding tahun sebelumnya berdasarkan Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2020.
Bagaimanapun kesalahan dalam kategori jenayah indeks itu menurun bagi kes samun dan bunuh dengan pengurangan masing-masing 5.3 dan 4 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata laporan kali ini memaparkan enam statistik jenayah terpilih iaitu jenayah indeks, dadah, rasuah, alam sekitar, jenayah maritim dan pemulihan.
Jenayah indeks meliputi dua kategori iaitu jenayah kekerasan dan harta benda. Sebanyak 13 jenis jenayah diambil kira dalam jenayah indeks manakala jenayah maritim dan pemulihan adalah tambahan dua statistik baharu yang dikeluarkan tahun ini.
Mohd Uzir berkata, nisbah jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk di Malaysia pada 2019 bertambah baik iaitu 256.6 berbanding 273.5 pada 2018.
Nisbah jenayah indeks bagi semua negeri mencatatkan penurunan kecuali Pulau Pinang (3.7 peratus), Sarawak (4.2 peratus) dan Terengganu (1.3 peratus).
Tujuh negeri merekodkan nisbah jenayah indeks bawah paras nasional pada 2019 iaitu Sarawak (214.6), Perlis (207.5), Perak (195.8), Pahang (195.7), Kelantan (188.2), Terengganu (150.3) dan Sabah (143.5).
“Terdapat empat jenis kes di bawah jenayah harta benda iaitu kes pecah rumah dan curi, kecurian kenderaan, curi ragut dan kecurian lain. Peratus pecah rumah dan curi meningkat 4.8 peratus pada 2019.
“Tiga jenis jenayah yang lain menurun iaitu kecurian kenderaan pada kadar 14.1 peratus, curi ragut (86.2 peratus) dan kecurian lain (1.7 peratus),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tangkapan penagih dadah pada 2019 menurun berbanding 2018 membabitkan lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perlis.
Bilangan tangkapan penagih dadah tertinggi direkodkan di Kedah iaitu 3,582 orang diikuti Kelantan dengan 2,998 orang dan Pulau Pinang (2,893 orang).
Bagi kes rasuah, bilangan tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meningkat 23.2 peratus.
Beliau turut berkata, laporan statistik itu menunjukkan jenayah membabitkan kanak-kanak bawah umur mencatatkan penurunan.
“Bilangan kanak-kanak bawah umur 18 tahun yang terbabit dengan jenayah menurun 8.7 peratus daripada 5,294 kes pada 2018 kepada 4,833 kes pada 2019.
“Kanak-kanak lelaki yang terbabit dengan jenayah turut menurun 9.2 peratus manakala kanak-kanak perempuan kekal sama seperti tahun sebelumnya iaitu 290 kes,” katanya.
Berdasarkan statistik 2019, majoriti mereka yang terbabit jenayah adalah lelaki dengan peratus penagih dadah lelaki (95.7 peratus), tangkapan kesalahan rasuah lelaki (82.9 peratus), kanak-kanak lelaki terbabit jenayah (94.0 peratus) dan peratus kemasukan banduan sabitan lelaki (89.5 peratus). – Malaysiapost

