SEORANG lelaki hanya sempat ‘melaram’ 20 minit dengan kereta peronda (MPV) milik polis sebelum ditahan dalam sekatan jalan raya di Taiping Utara, berhampiran susur masuk Plaza Tol Kamunting, pagi tadi.
Suspek sebelum itu melarikan MPV yang diletak dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada jam 7.28 pagi dengan meninggalkan kenderaannya jenis Ford Fiesta.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata suspek dari Selama, Perak ditahan bersama kenderaan yang dilarikan tidak sampai setengah jam.
“Suspek dibawa ke IPD Taiping untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Osman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung tindakan atau modus operandi suspek. – Malaysiapost

