Pemilik Kapten Corner percaya akan kembali ke ‘awan biru’

0
2

Nurul Huda Abhar

“SAYA akan kembali ke bidang penerbangan selepas matlamat saya tercapai,” kata bekas juruterbang, Kapten Azrin Mohamad Zawawi.

Bekas juruterbang, Azrin Mohamad Zawawi

Beliau antara kakitangan sebuah syarikat penerbangan yang diberhentikan tugas ekoran industri tersebut terkesan akibat wabak Covid-19.

Biarpun berpengalaman lebih 20 tahun dan pernah berkhidmat di tiga syarikat penerbangan termasuk syarikat berpangkalan di Indonesia, beliau terpaksa akur melepaskan tugas terakhir sebagai tenaga pengajar kepada pelatih juruterbang ketika itu.

Semangat untuk terus berjuang meneruskan kelangsungan hidup membuatkan Azrin, 44, mengambil keputusan membuka gerai di Boom Town Cafe, Subang Jaya bermula 23 Oktober lalu dengan nama ‘Kapten Corner’.

Simbolik kepada pekerjaannya sebagai juruterbang, beliau menarik perhatian umum apabila muncul dengan seragam lengkap termasuk topi, lencana dan paling utama pangkat ‘empat bar’ di bahu.

Ketika ditemui Malaysiapost, Azrin yang dibantu isteri, Latun Noralyani Meor Aminudin memberitahu pada awalnya beliau hanya ingin memakai pakai seragam itu buat kenangan kali terakhir sebelum bertukar ke bidang perniagaan.

“Saya pada mula tidak tahu gambar saya viral di laman sosial. Rupanya ayah saya telah memuatnaik gambar itu ke Facebook.

“Saya hanya maklum mengenainya setelah seeorang pelanggan yang datang ke gerai memberitu gambar saya beruniform telah tersebar luas. Ketika itu baru saya tahu,” katanya.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata ini, matlamat utama beliau untuk memulakan perniagaan menu selera utara termasuk mi kari, laksa, bihun sup dan rojak buah adalah kerana ingin memperkenalkan masakan air tangan isterinya kepada umum.

Ini kerana, beliau mahu mengembangkan perniagaanya lebih luas dan dalam masa sama mahu membuka peluang kepada kakitangan anak kapal yang terjejas berikutan krisis Covid-19 ketika ini.

Azrin berkata, beliau tidak akan berputus asa untuk kembali terbang ke awan biru, tetapi mahu melunaskan matlamat utama membantu rakan-rakan seperjuangan lain yang turut menerima nasib sama.

“Ya, saya akan kembali kepada bidang penerbangan suatu hari ini. Tapi ketika ini, saya ingin tumpu menaikkan perniagaan Kapten Corner dan memperkenalkan menu-menu yang dihasilkan sendiri oleh kami.

“Saya masih dalam perbincangan dengan sebuah organinasi untuk buka peluang kepada rakan-rakan bidang penerbangan. Saya mahu bantu mereka buka gerai, dapat berniaga juga. Itu yang saya usahakan,” ujarnya.

Kisah Azrin turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk singgah dan merasai sendiri menu-menu yang terdapat di gerai tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here