LELAKI disyaki membunuh bapanya dalam kejadian di Simpang Pertang, Jelebu semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Rahimah Rahim selepas mendengar permohonan polis di Mahkamah Majistret Jelebu pagi ini.
Rahimah mengarahkan perintah reman terhadap suspek berusia 35 tahun itu bermula hari ini sehingga 25 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut dan menunggu laporan bedah siasat mayat mangsa yang dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, hari ini.
Semalam, media dilaporkan seorang bapa maut ditikam oleh anaknya dengan sebilah pisau akibat berang ditegur kerana leka bermain telefon di sebuah rumah di Simpang Pertang. – Malaysiapost

