Zahid mahu undi percaya PM dibawa ke Dewan Rakyat

0
2

Nurul Huda Abhar

[PARLIMEN] UNDI percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dibawa ke Dewan Rakyat demi kestabilan politik, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, proklamasi darurat bukan pilihan, apatah lagi jika dilaksanakan untuk seluruh negara, ia wajid ditolak.

Beliau menambah, dalam politik perlu ada kejujuran dan rakyat harus diberi keutamaan dalam sebuah kerajaan.

“Rakyat harus diberi keutamaan, usul undi percaya harus dibawa ke dewan ini. Sesuatu mesti dilakukan biarlah kerajaan sendiri menjadikan usul undi percaya sebagai aturan kerajaan dan dibawa ke dewan yang mulia ini.

“Proklamasi darurat bukan pilihan, apatah lagi proklamasi darurat seluruh negara wajib ditolak,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau bagaimanapun menyokong pengisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi di Sabah bagi mengelak Pilihan Raya Kecil, seterusnya membendung penularan Covid-19.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, dalam politik perlu ada kejujuran dan persefahaman sama ada secara piagam, bertulis mahupun konvensyen.

“Secara tersurat atau tersirat, tiada soalan siapa berbudi atau yang terhutang budi, soal tipu muslihat harus jangan ada, jangan telunjuk lurus kelingking berkait.

“Ambillah ibrah sirah perjanjian tahkim, supaya perjanjian tahkim yang berbentuk muslihat politik tidak berlaku. Kejatuhan pemimpin-pemimpin dulu bila pemimpinnya merasakan dirinya popular,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here