JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 88,000 batang rokok dan 1,111 kotak minuman keras dianggarkan bernilai hampir RM400,000 dalam sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Rabu lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifiah, berkata pasukan dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM bersama Cawangan Penguatkuasaan JKDM Melaka menahan kontena itu kira-kira jam 12.45 tengah hari kerana disyaki membawa barang larangan.
“Kontena terbabit dibawa ke Stor Cawangan Penguatkuasaan JKDM Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan menemukan 440 karton rokok bersamaan 88,000 batang dan 1,111 kotak minuman keras bersamaan 7,887.24 liter dengan jumlah RM395,457.03. Anggaran duti berjumlah RM408,623,43.
“Modus operandi yang digunakan adalah cubaan mengikrar dagangan sebagai Food Stuff (Barang Makanan) dalam Bil of Lading dan Manifes Import (K4),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Johari berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang dari sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, “katanya.
Sehubungan itu, Johari menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
“Orang ramai boleh memberi maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-80088-8855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri.
“JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” -Malaysiapost

