Wilayah Bebas Berniaga’ ada undang-undang – Annuar

0
2

‘WILAYAH Bebas Berniaga’ tidak bermaksud  ia bebas daripada pelaksanaan undang-undang, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. 

Beliau berkata dakwaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, kononnya kelonggaran yang diberikan itu memberi ruang pihak tertentu melanggar peraturan.

Annuar berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memastikan semua aspek undang-undang meliputi isu penjaja dan perancangan dipatuhi bagi mengelak isu tidak diingini.

“Itu dia (Teresa) cakap sendiri, tiada siapa kata boleh buka gerai di semua kawasan seperti Parlimen.

“Kenyataan beliau menjatuhkan standard sebagai Ahli Parlimen, lebih baik manfaatkan masa bawa cadangan yang baik (di Dewan Rakyat) untuk kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM189,200 kepada 76 keluarga mangsa banjir kilat di Dewan Serbaguna Kampung Baru, hari ini.

Wang itu hasil sumbangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Kementerian Wilayah Persekutuan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Keluarga berkenaan membabitkan 18 warga emas, 238 dewasa, 65 kanak-kanak dan enam bayi yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir di Kelab Sultan Sulaiman, di sini, susulan banjir pada September lalu.

Sebahagian besarnya tinggal di Jalan Raja Bot, Jalan Raja Alang, Jalan Raja Mahadi, Jalan Raja Muda Musa dan Kampung Periuk, Kampung Baru.

Mengulas hasrat sembilan Ahli Parlimen Kuala Lumpur mahu menemui Menteri Wilayah Persekutuan itu bagi membincangkan isu berkenaan, Annuar berkata, beliau mengalu-alukannya kerana membabitkan isu kebajikan rakyat.

“Nak jumpa esok, lusa, siang, malam di pejabat, rumah atau warung, tiada masalah.

“Bagaimanapun, Wilayah Persekutuan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), memadai kalau kita berhubung melalui sidang video atau datang jumpa secara berseorangan.

“Tidak perlu tunggu ramai-ramai berkumpul dan datang jumpa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, kementerian giat melaksanakan projek tebatan banjir kolam takungan di sekitar Taman Botani di sini, membabitkan peruntukan RM150 juta.

Katanya, kerja-kerja juga dijalankan bagi membesar dan mendalamkan 16 kolam takungan banjir sedia ada di sini.

“Kawasan kolam, lombong dan tasik yang sesuai dijadikan kolam takungan akan dikenal pasti sebagai tambahan kepada yang sedia ada.

“Pada masa sama, DBKL akan mensyaratkan setiap pemaju perumahan baharu menyediakan kolam takungan banjir di kawasan pembinaan,” katanya. -Malaysiapost