PERSATUAN Belia Baru Universiti Malaya (Umany) memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong dan menarik balik kenyataan yang mempersoalkan kuasa baginda seperti disiarkan mereka sebelum ini.
Umany berkata, permohonan maaf itu dibuat selepas merujuk dan mendapatkan nasihat pakar Perlembagaan berhubung kenyataan dikeluarkan mereka pada 30 Oktober lalu menerusi media sosial.
“Selepas merujuk nasihat ahli pakar Perlembagaan, Umany membuat keputusan menarik balik kenyataan bertajuk ‘YDPA Should Not Interfere in National Affairs’ yang dipaparkan di halaman Facebook bahasa Cina dan Inggeris Umany pada 30 Oktober 2020.
“Umany ingin menegaskan kami mematuhi sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia serta menghormati peranan Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan.
“Selain menzahirkan maaf kepada masyarakat, Umany ingin secara khususnya mengemukakan permohonan maaf dan ampun Tuanku atas kekurangan pemahaman kami terhadap Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Umany berkata, kenyataan yang dinyatakan pada 30 Oktober itu adalah bagi tujuan perbincangan akademik dan bukan berniat untuk menghasut, justeru ia mendesak polis menghentikan segala siasatan terhadap ahlinya.
Persatuan itu kini disiasat mengikut Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia selepas Universiti Malaya membuat laporan polis.
“Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia juga merupakan undang-undang zalim yang menindas kebebasan bersuara rakyat.
“Kita menuntut polis menghentikan segala siasatan di bawah akta-akta tersebut terhadap ahli Umany dan menggesa kerajaan agar memansuhkan undang-undang zalim ini, yang menyekat kebebasan bersuara,” katanya. – Malaysiapost

