PKPD dilanjutkan di 3 kampung di Kudat

0
2

Fitri Nizam

TIGA lokaliti di Kudat iaitu di Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang dilanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiga lokaliti itu dikenakan PKPD bermula 30 Oktober dan sepatutnya berakhir hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sehingga semalam terdapat 85 kes aktif di ketiga-tiga kampung terbabit.

“Justeru, atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di ketiga-tiga lokaliti ini bermula 13 sehingga 26 November.

“Pada masa sama, terdapat sejumlah besar sampel ujian saringan masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, sehingga semalam, KKM telah melakukan 14,096 saringan terhadap penduduk di ketiga-tiga lokaliti terbabit.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pengumuman PKPD yang dibuat kerajaan adalah berdasarkan nasihat KKM.

“KKM membuat penilaian risiko di sesuatu lokasi berdasarkan data lengkap sama ada daripada segi kebolehjangkitan di sesuatu lokaliti sebelum menasihatkan kerajaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost