DARI seorang ketua eksekutif kini bergelar penghantar makanan, itu mungkin reaksi awal apabila melihat gambar terbaharu Tan Sri Tony Fernandes.
Menerusi perkongsian di Instagram, Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia itu berkongsi gambarnya memakai baju-T berwarna putih, berdiri bersebelahan motosikal perkhidmatan penghantar makanan.
“Bersiap sedia untuk menghantar makanan ke rumah anda,” katanya.
Berdasarkan gambar dimuat naik itu, beg makanan berkenaan tertulis ‘airasia.com/food’, iaitu antara perkhidmatan terbaharu disediakan AirAsia untuk pelanggan.
Mungkin khidmat menghantar makanan ini adalah salah satu kaedah Tony untuk memastikan syarikat penerbangannya tidak terus terjejas susulan Covid-19.
Kesan pandemik itu menyaksikan pintu sempadan negara ditutup, menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa mengecilkan operasi dan memberhentikan ribuan pekerja kerana tidak mampu menanggung kos operasi harian. – Malaysiapost

