YADIM minta KKMM batalkan ABPBH

0
2

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini menyerahkan surat rasmi kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menggesa agar hiburan yang tidak mematuhi syariah dibatalkan.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata ia termasuk program seperi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), terutama di saat umat Islam berdepan dengan pandemik covid 19.

Serahan itu diterima Pegawai Tugas Khas (Dasar) Muhammad Iqbal Mahashim, mewakili Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sementara itu, Nasrudin berkata pada saat umat Islam sedang resah dilanda pandemik Covid 19, sepatutnya diperbanyakkan aktiviti yang boleh mendekatkan diri kepada Allah swt, seperti beristighfar dan melakukan amal kebajikan.

“Mudah-mudahan Allah swt menyelamatkan kita, negara dan seluruh penghuninya dari wabak yang bahaya ini.

“Justeru itu, program hiburan seperti ini sangat tidak wajar. Sementelah saat umat Islam sedang resah mendepani wabak seperti yang saya nyatakan tadi.

“Malah, YADIM telah menerima banyak aduan daripada umat Islam mengenai ketidakwajaran program ini diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata YADIM memohon ia dibatalkan dan diganti dengan program yang lebih bermanfaat dan tidak mengundang kemurkaan Allah swt.

“Bagi pihak YADIM beberapa usaha dalaman telah dilakukan supaya program ini dibatalkan. Mohon doakan dari semua,” katanya menerusi kenyataan di Facebook sambil menulis tanda pagar #batalkanABP. – Malaysiapost