
[PARLIMEN] AHLI Parlimen pembangkang menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan kes tuberkulosis (batuk kering) sekiranya tidak diberi perhatian serius.
Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah), berkata beliau khuatir kaedah menangani penyakit itu sekiranya peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Belanjawan 2021 tidak ditambah.
“Apa persediaan yang kita ada kalau lepas Covid-19 berlaku lonjakan kes penyakit berjangkit seperti tibi dan lain-lain.
“Itu pembunuh besar dan masa khusus perlu diberikan untuk rawatan. Jadi harus tambah dana kalau kurang maka ranaplah. Maka saya harap dana KKM harus dinaik taraf,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan laman web KKM, jumlah kes tibi yang dilaporkan di Malaysia pada 2019 adalah 26,352 kes – peningkatan 2 peratus berbanding 25,837 kes pada 2018.
Kematian disebabkan penyakit itu pada 2019 pula adalah 3.7 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Dr Azman turut merujuk kajian London Imperial College yang mendedahkan peningkatan kes tibi secara global selepas tiga bulan negara serata dunia melaksanakan sekatan pergerakan susulan Covid-19.
“Apabila berlaku lockdown dan perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, segala kerja asas tidak dapat dijalankan dengan sempurna,” katanya.
Menurut kajian itu, sekatan pergerakan global ekoran Covid-19 telah meningkatkan kes tibi – dijangkakan kira-kira enam juta jangkitan baharu dan 1.4 juta kematian sehingga 2025.
Ini kerana, sekatan pergerakan menyebabkan lebih ramai petugas kesihatan menumpukan terhadap rawatan Covid-19, sekali gus melambatkan proses pemulihan penyakit tibi. – Malaysiapost
