Apakah Malaysia kekal rakan strategik Amerika Syarikat di bawah Biden

0
2

Dr Al- Azharri Siddiq Kamunri

[Sudut Pandang]PILIHAN Raya Presiden di Amerika Syarikat (AS) walaupun belum selesai secara rasmi, namun kedudukan Joe Biden 290 berbanding Donald Trump 214 semakin sukar disaingi.

Semasa kempen Pilihanraya Presiden Amerika tahun 2015/2016, ketika menetap di Pennsylvania, saya menyaksikan keinginan luar biasa rakyat Amerika Syarikat untuk melakukan perubahan. Kata-kata dan iklan profesional ‘Make America Great Again’ terpampang di mana-mana. Saya turut melihat banner ‘Jews is our brothers’ di luar terminal lapangan terbang John F Kennedy, New York ketika itu.

Di televisyen dan pelbagai aplikasi di sosial media wajah Trump muncul setiap hari bercakap tentang wawasannya sehinggakan saya naik bosan kerana hampir semua saluran TV menyiarkan kempen Trump. Namun, saya teruja dengan kesungguhannya untuk menang.

Manakala parti Demokrat yang diwakili Hillary nampak mengekalkan status quo dan ‘body language’ eksklusif dia sebagai mantan Setiausaha Luar Amerika dan mantan Wanita Pertama Amerika Syarikat.

Ketika itu, media melaporkan Hillary penerima dana pilihan raya lebih besar berbanding Trump. Namun, ianya tidak cukup untuk menghalang majoriti rakyat Amerika yang terpikat dengan kesungguhan Trump dengan slogan ‘Make Amerika Great’.

Sehingga artikel ini ditulis, pasukan Trump masih belum mahu menyerah kalah dengan mempersoalkan kewujudan undi-undi yang mencurigakannya di beberapa buah negeri. Saya tidak akan mengulasnya, kerana itu isu dalaman Amerika.

Saya fikir, kita juga tidak perlu terlalu memikirkannya, kerana demokrasi di Amerika sudah matang di mana apabila sampai masanya nanti saya yakin Trump akan menyerahkan kuasanya kepada Joe Biden, Presiden Amerika yang terpilih.

Persoalan yang perlu kita rungkai adalah bagaimana bentuk dasar luar Amerika Syarikat di bawah Biden? Apakah Malaysia akan menjadi sebuah negara yang penting kepada Amerika dalam hal ehwal politik, ekonomi dan geopolitik rantau sebelah sini?

Semasa Najib menjadi Perdana Menteri, hubungan dengan Obama dan Trump sangat erat. Ianya boleh dilihat daripada jemputan Obama ke atas Najib (2014) untuk bermain golf dan lawatan Obama ke Malaysia (2016). Begitu juga kunjungan Najib di Washington pada 2017 bertemu dengan Trump dan anggota kabinetnya.

Malah saya mengetahui, semasa suatu majlis meraikan duta-duta negara asing di Washington, Trump turut bercakap dengan Najib melalui telefon.

Manakala, kita sedia maklum ketika Tun Mahathir sekali lagi menjadi Perdana Menteri (2018/2019) hubungan dengan Trump kurang mesra. Namun, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) dilantik sebagai Perdana Menteri (2020) TSMY telah bercakap dengan Trump melalui telefon.

Hubungan dilpomatik ini sangat penting kerana Amerika Syarikat sebuah negara pasaran ekonomi terbesar di mana seluruh dunia mengimpikan membawa masuk produk mereka ke Amerika. Apatah lagi Malaysia sebuah negara kecil dengan sumber yang terhad perlu mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh.

Keadaan geopolitik di Laut China Selatan masih belum selamat walaupun Dasar berkecuali negara dan berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengira ideologi politik masih boleh bertahan.

Dalam bidang pendidikan , Malaysia mempunyai kerjasama pendidikan yang akrab di USA, misalnya sejak berpuluh tahun kita menghantar pelajar ke AS. Malah penubuhan Kursi Tun Razak, di Ohio University sejak 1981 menggambarkan pengiktirafan hubungan dua hala AS-Malaysia sangat kukuh.

Saya melihat kekalahan Trump lebih kepada kegagalannya menyekat Covid-19 yang meragut lebih 239,000 nyawa setakat ini.

Kedua, dasar bersengketa dengan kuasa besar lain khususnya China sebenarnya suatu kesilapan kerana China sendiri telah diramal oleh pakar-pakar strategi dan keselamatan di Jabatan Negara pada tahun 1990an akan kemunculan China sebagai kuasa baru dunia dalam ekonomi, tentera dan politik dalam tempoh 30 tahun, maknanya sekarang.

Ketiga, dasar Trump di negara-negara teluk kurang jelas terutama kegagalannya memenangi hati negara-negara teluk dalam kes Baitulmaqdis.

Harga minyak paling rendah dalam sejarah Amerika berlaku ketika Trump menjadi Presiden, secara tidak langsung Trump sepatutnya berbaik-baik dengan negara-negara teluk sebagai pengeluar utama emas hitam ini. Namun, Trump memilih persengketaan.

Saya fikir, Joe Biden perlu segera memperbaiki dasar-dasar tersebut supaya lebih mesra kepada dunia luar. Perkembangan geostrategik negara-negara luar berkembang pantas dan Biden tidak lagi boleh memandang sebelah mata.

Malaysia perlu bersedia dari awal dengan menggerakkan para diplomat yang sesuai untuk meneruskan hubungan lembaran baharu dengan Amerika.

Semasa di Washington dulu, Jabatan Negara Amerika memanggil pakar sains politik dari Malaysia, Profesor Jayum Jawan untuk mengajar para diplomat AS apa yang boleh dan tidak boleh di Malaysia. Duta Kamala Shirin Lakhdhir merupakan salah seorang daripadanya.

Kita tidak boleh menggunakan pendekatan tunggu dan lihat sahaja kerana masa berlalu sangat pantas, perubahan geopolitik yang menyentuh isu-isu keselamatan negara kita juga bergerak pantas.

Corak dan dasar luar Amerika di bawah Biden pasti menarik kerana kemenangan Joe Biden dan Kamala Harris turut disokong majoriti oleh rakyat Amerika keturunan Asia, muslim dan masyarakat hitam. Malaysia perlu mengambil peluang dengan cepat.

Walaupun negara-negara kuasa besar seperti China, Russia dan United Kingdom masih berhati-hati untuk mengiktiraf kemenangan Joe Biden, namun saya fikir negara kita sudah seharusnya melaksanakan pendekatan menang-menang dengan pentadbiran baru Washington.

Kebimbangan saya adalah kelewatan kita memahami perubahan ini boleh merugikan negara dan seterusnya memberi kesan yang sukar dalam kita mengekalkan hubungan strategik yang memberi faedah kepada rakyat dan negara.

Penulis adalah Penganalisis Politik dan Kerajaan/Nation Building.

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)