MAYBANK cawangan Pandan Jaya, Kuala Lumpur ditutup sementara kerana seorang kakitangannya disyaki mempunyai kontak rapat pesakit Covid-19.
Menerusi satu kenyataan, Maybank memaklumkan bahawa seorang kakitangannya mempunyai kontak rapat secara langsung dengan individu dikenal pasti pengesanan kes yang disyaki (PUI).
“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa kontak rapat tersebut berlaku di luar cawangan.
“Selepas menerima maklumat, kami terus menutup cawangan ini untuk menjalankan proses pembersihan yang rapi serta sanitasi.
“Oleh itu, cawangan Pandan Jaya ini ditutup sementara waktu dari 10 Oktober 2020 sehingga diberitahu kelak,” katanya.
Maybank berkenaan turut menasihati pelanggan untuk melakukan transaksi perbankan dari Maybank2U, Maybank2u Biz dan Maybank2E dari kediaman masing-masing.
“Anda juga boleh mengunjungi cawangan lain yang berdekatan atau menggunakan Terminal Layan Diri kami,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Maybank cawangan Pandan Jaya akan terus bekerja rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan semua protokol kesihatan dipatuhi. -Malaysiapost

