Gangguan air: 4 LRA telah beroperasi semula

0
2

Nurul Huda Abhar

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 2.40 pagi tadi secara berperingkat setelah bacaan 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut.

AIR Selangor menerusi kenyataan jam 7.30 pagi tadi memberitahu, keempat-empat LRA telah selesai melaksanakan aktiviti pencucian dan pengepam di setiap  bahagian dalam proses rawatan di LRA bagi memastikan kualiti air bersih dan selamat mengikut piawaian Kementerian Kesihatan (KKM).

“Air Selangor telah melakukan pengesahan kualiti air di setiap bahagian dalam proses rawatan air serta kolam-kolam imbangan dan disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

“Air Selangor berusaha untuk menstabilkan system agihan sebelum bekalan air dapat diagihkan kepada pengguna.” katanya.

Sementara itu, kenyataan tersebut menyatakan Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekaln air mengikut Kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan.

Tambahnya, bekalan air dijangka mula diterima oleh pengguna pada jam 3 petang ini secara berperingkat mengikut kedudukan kawasan dalam sistem agihan bekalan air.

“Bantuan bekalan air alternatif yang telah dilaksanakan akan diteruskan bagi membantu pengguna yang terjejas termasuk menggerakkan 111 lori tangki, menyediakan 14 pili awam dan membuka 17 Pusat Khidmat Setempat, serta mengagihkan air minum lima liter,” ujarnya.

Semalam, empat LRA iaitu fasa 1,2,3 serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor sekitar jam 12.20 hingga jam 12.45 tengah hari, semalam.

Susulan itu, sebanyak 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, akan mengalami gangguan bekalan air mulai jam 6 petang semalam. – Malaysiapost