Umno sokong Belanjawan 2021

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

UMNO sebahagian dari kerajaan dan sudah tentu kita menyokong Belanjawan 2021, kata Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, secara peribadi beliau berpuas hati dengan Belanjawan 2021 yang dilihat membantu rakyat di setiap lapisan.

“Walaupun kita sebahagian dari kerajaan, kita juga mempunyai peranan untuk melakukan ‘check and balance’ (semak dan imbang). Pertamanya Ahli Parlimen Umno yang bukan menteri atau timbalan menteri iaitu backbenchers.

“Sebagai backbenchers saya gembira kerana peruntukan diberikan adalah besar dan ia meliputi seluruh rakyat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) juga menyeluruh, di mana memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion.

Sementara itu, Tajuddin berkata pihak lain terutama institusi kewangan perlu bersama kerajaan membantu rakyat terutama masing-masing terkesan dengan Covid-19.

Katanya, komuniti perniaga juga perlu dibantu terutama mereka yang berada di peringkat pertengahan ini.

“Saya harap kerajaan dapat membantu dengan meminta sokongan bank-bank memberi kelonggaran membuat pinjaman.

“Rasanya pihak bank tidak bermasalah untuk membantu tetapi rancangan perniagaan peniaga perlulah baik dan meyakinkan mereka untuk memberi pinjaman,” katanya. – Malaysiapost