KWSP: Najib sekali lagi saran kerajaan izin pengeluaran ‘one-off’ RM10,000

0
1

Fitri Nizam

AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menyarankan kerajaan mempertimbangkan pengeluaran ‘one-off’ Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 kepada empat juta rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Katanya, kerajaan perlu mengambil langkah berani dan luar biasa dalam keadaan negara berdepan situasi luar biasa ketika ini.

Beliau berpendapat dana itu amat diperlukan untuk menambah wang pada kitaran ekonomi ketika perbelanjaan kerajaan amat terhad, selain membantu rakyat yang terdesak dan terkesan.

“Wang yang dikeluarkan daripada akaun pencarum pada masa ini mampu dipulihkan dengan sokongan kerajaan dalam masa setahun atau dua tahun lagi pada masa hadapan selepas krisis Covid-19 selesai,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tanggungjawab kerajaan bukan untuk menafikan pencarum dari mengakses wang milik mereka sendiri pada masa paling terdesak.

“Fokus kerajaan adalah mencari jalan untuk memulih dan memastikan pencarum dengan baki simpanan rendah dapat menambah simpanan mereka dengan kadar paling cepat supaya ketika bersara simpanan akaun pertama mencukupi,” katanya.

Justeru, Najib mencadangkan tiga langkah yang boleh diambil kerajaan untuk membantu KWSP meningkatkan pendapatan mereka supaya dapat memberi dividen lebih tinggi kepada pencarum di masa depan.

“Kerajaan boleh membantu KWSP meraih pendapat lebih dengan memberi projek-projek lumayan dan menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum selepas krisis Covid-19 tamat.

“Selain itu, kerajaan boleh mengubah stuktur pembayaran kepada stuktur berperingkat di mana baki simpanan pencarum yang lebih rendah terima dividen lebih tinggi.

“Dengan ini simpanan masa tua pencarum dapat dipulihkan dalam masa terdekat,” katanya. – Malaysiapost