PERIKATAN Nasional (PN) meminta semua pihak mendokong titah Yang Di- Pertuan Agong agar mengutamakan rakyat dalam tempoh yang amat mencabar buat negara dengan menyokong Belanjawan 2021.
Menerusi kenyataan bersama empat presiden parti, PN menjelaskan Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion adalah belanjawan terbesar dalam sejarah negara.
Katanya, ia merangkumi lebih RM4.2 bilion untuk mengurangkan beban rakyat, lebih RM4 bilion kepada barisan hadapan dalam memerangi Covid-19 dan RM3 bilion untuk menjana 500,000 pekerjaan.
“Kesemua ini adalah manifestasi komitmen serta keprihatin kerajaan PN dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, tanpa mengira kaum dan agama, terus terbela dalam menghadapi penularan wabak Covid-19,” katanya.
Empat presiden parti itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Star) dan Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP).
PN menjelaskan, Belanjawan 2021 adalah kesinambungan empat pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi diumum kerajaan PN sebelum ini yang bernilai RM305 bilion.
“Dalam hal ini, jelas bahawa kerajaan PN tidak pernah berkompromi dalam usaha melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.
“Sehubungan itu, gandingan bahu setiap pihak amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Belanjawan 2021 dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat, Jumaat lalu. – Malaysiapost

