PKPB dilaksana berdasarkan laporan KKM

0
1

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tujuh negeri di Semenanjung yang dilaksanakan mulai semalam, adalah bagi mengekang keadaan menjadi lebih buruk.

Keputusan itu dibuat berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kes harian Covid-19 yang mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 1,755 kes pada 6 November lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata rentetan itu, KKM segera melaksanakan penilaian risiko dan mendapati terdapat peningkatan ketara bilangan kes positif dan kadar kebolehjangkitan di negeri terbabit.

“Atas sebab ini, kerajaan membuat keputusan melaksanakan PKPB empat minggu dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti dikenal pasti mempunyai kadar penularan tinggi dan bersasar bagi mengekang penularan wabak ini.

“Malah, prosedur operasi standard (SOP) diwujudkan bagi mengatasi penularan di kawasan PKPB akan diperketatkan terutama bagi aktiviti sosial.

“Ia termasuk di kawasan terkawal seperti penjara, lokap atau Pusat Tahanan Sementara,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang mahu kerajaan menyatakan rasional pelaksanaan PKPB di tujuh negeri, mulai semalam. – Malaysiapost